Aku sudah lama ingin membuat post khas ini untuk menyuarakan pendapat aku yang pada aku itulah salah satu fungsi blog, di mana aku berhak meluahkan perasaan aku selagi aku tidak mengganggu hak asasi orang lain.
Jadi di sini aku ingin mengetengahkan beberapa masalah rakyat Malaysia yang aku jarang lihat ada dalam masyarakat Jepun. Mungkin masalah ini juga terdapat di negara-negara lain, cuma dari sudut pandangan tirus aku yang tidak berjalan jauh (yang hanya pernah ke Malaysia dan Jepun) ini, aku hanya nampak masalah itu ketara di Malaysia. Salah satu daripadanya ialah dari sudut pemakaian. Rakyat Malaysia sangat terikat dengan rasa hati mereka di mana jika terlintas di hati mereka bahawa cara pemakaian itu buruk baginya, maka sesiapa yang berpakaian sedemikian perlu dikecam. Hal ini juga boleh kelihatan dari aspek jenama pakaian terutamanya. Sebagai contoh, jika seseorang itu memakai kasut sukan Nike, Adidas, New Balance dan lain-lain jenama terkemuka, dia akan dipandang hebat manakala mereka yang memakai kasut sukan Nikki, Adilas, N sport pula akan di pandang sedikit serong.
Selain itu juga, jika seseorang yang rupa paras fizikalnya tidak sesuai untuk memakai beg tangan Gucci, Chanel, Charles & Keith dan lain-lain jenama ternama, beg tangan itu pasti dianggap palsu. Salahkah mereka jika itu palsu? Jika mereka berlagak dengan megahnya, maka aku setuju mereka salah. Tetapi, jika mereka hanya lalu dihadapan kita dan kita menghukum mereka sedemikian rupa, adakah itu wajar? Masalah "double standard" sebenarnya yang aku cuba utarakan. Apa yang aku dapat fikirkan adalah hal ini terjadi kerana mentaliti kita yang merasakan diri itu cukup hebat untuk menghukum orang lain. Sedangkan, di negara maju seperti Jepun ini, tiada siapa yang mengambil peduli akan jenama apa yang kau pakai atau pun barang yang kau pakai itu adalah palsu atau tidak. Kerana mereka menghormati hak orang lain dan mereka percaya bahawa semua orang layak di layan sebaik mungkin.
Entah mengapa aku menaip post sebegini, aku pun tidak pasti. Tetapi, moga-moga bermanfaat kepada pembaca. Maafkan aku jika aku salah, mungkin ada yang tidak merasa seperti apa yang aku rasa, tetapi ketahuilah bahawa hal ini wujud dalam masyarakat kita. Sekurang-kurangnya sekitar remaja-remaja bandar di tempat aku tinggal dan aku tidak mengecualikan diri aku juga.

No comments:
Post a Comment