#1 - Malam pertama di Hokkaido. Lari dari plan asal. Tetapi, setiap sesuatu yang berlaku pasti ada sebabnya bukan?
Jam kini menunjukkan pukul 1.09 pagi dan kami kini berehat di tepi pantai menyaksikan kebesaran Allah S.W.T. Dibawah langit yang terbentang luas menyaksikan bintang-bintang yang telah lama berkelipan sejak bertahun-tahun dahulu dan kini tiba lalu mempersonakan setiap mata yang memandang.
Kecantikan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Oh, mungkin boleh sebenarnya. Cukup dengan satu kata. SubhanAllah!
#2 - Perjalanan bermula sekitar 3.30 pagi setelah bangun dari tidur yang tidak sampai sejam dek kerana hujan turun membasahi kawasan berehat kami.
Perjalanan yang jauh menuju ke Hakodate dimulakan dengan sesi melihat matahari terbit, mandi pagi dikolam air panas, sarapan dan tidur di dalam kereta sebelum menjadi pemandu untuk terus tiba ke Hakodate.
Di Hakodate, makan tengahari, berjalan-jalan, daftar masuk rumah tumpangan dan tidur lagi sebelum meneruskan aktiviti utama di Hakodate ini iaitu panorama bandar cahaya dari puncak bukit Hakodate dan burger ikan paus.
Cakap sahaja tiada guna tanpa baban buktinya. Ye dak? Jadi ini lah bukti sebutir dua :)
#3 - Nak dijadikan cerita, dari Hakodate, bangun sedikit lambat dan menggelabah lah semua insan yang terlambat itu untuk mengejar masa yang ditetapkan sudah. Haa, kau ado ayat macam tadi? Ok, serious talk! Tak ada lah lambat mana dan tidak lah gelabah mana kami ini. Pergerakan seperti biasa dan sekitar 12.30 kami tiba di Niseko untuk melakukan aktiviti lasak berlevel 1, rafting. Di temani istruktor yang ramah, pengembaraan kami sangat menarik sekali. Gambar? Ada, cuma atas faktor keadaan semasa yang tidak mengizinkan, nanti lah akan diusahakan.
*setakat ini, ini sahaja yang mampu diusahakan. Nantikan yang selanjutnya.
Setelah penat beraktiviti lasak level 1, kami meneruskan perjalanan menuju ke Otaru untuk menikmati pemandangan indah waktu malam bandar tersebut. Dalam perjalanan ke situ, kami singgah ke sebuah kedai makan yang diusulkan oleh instruktor kami tadi dan hasilnya, kami tidak kecewa. Kerana apa? Kerana makanan nya yang sangat cukup rasa! Aku makan Unagi-don dan Yaki-ika atau dalam Bahasa Melayu nya adalah nasi belut dan sotong bakar.
Pengembaraan hari ketiga ini juga tak mahu kalah dengan hari-hari lain di mana sesi mencari tempat berehat/tidur sangat mencabar. Setelah berulang-alik kesana kemari, kami hanya mampu tidur di sekitar taman beralaskan sleeping bag. Walaubagaimanapun, agak selesa sebenarnya. Mungkin kerana kepenatan ditambah pula dengan keberadaan rakan-rakan yang kita suka disekeliling kita mungkin. Sekian. KO!
#4 - Bangkit daripada tidur atas batu beralaskan sleeping bag dan ditemani ribuan nyamuk, kami meneruskan perjalanan ke ladang blueberry untuk memetik dan memakan buah blueberry yang terbaik dari ladang. Blueberry dah jadi nasi dek kelaparan yang membutakan mata.
Setelah itu kami bersiap sedia untuk mandi kolam air panas dimana merupakan tempat yang menggerunkan bagi sesiapa yang tidak biasa dengan budaya Jepun. Damn!! Setelah itu makan dan perjalanan diteruskan ke Asahikawa untuk berkhemah. Susah payah mendirikan khemah terasa berbaloi kerana tidur yang nyenyak di malam harinya sangat menenangkan jiwa. Tidak lupa juga sesi teka-teki sebelum tidur yang sangat mengujakan. Sekian :)
#5 - Ekspidisi Hokkaido kami diteruskan ke destinasi seterusnya, Asahiyama Zoo di wilayah Asahikawa. Puas lah kami bergodek-godek dengan haiwan liar yang berbagai jenisnya dari pagi sehingga ke tengahari. Melihat gelagat haiwan yang terlatih dan hanga mampu melakukan apa yang dilatih sedijit mengecewakan tetapi memahami situasi kami di Jepun ini, maka faham-faham sahaja lah.
Seterusnya kami menyambung perjalanan ke Kitami untuk bermalam di rumah rakan dan untuk ke Shiretoko pula selepas itu. Shiretoko terkenal dengan khazanahnya yang bertaraf dunia. Sebelum tiba ke Kitami, kami memutuskan untuk mandi air terjun kerana sebahagian dari kami masih tidak mandi pagi. Jadi kami singgah ke Air Terjun Yamabiko. Di sana, air yang dingin ibarat air sejuk baru dikeluarkan dari peti sejuk mampu membekukan otak anda. Jadi berjaga-jaga lah jika mahu bertapa di bawah air terjun itu. Kawasan air terjun ini sangat kecil tetapi lumayan lah jika anda mahukan tempat untuk berehat sekadar untuk melepaskan penat dan berendam dalam air semulajadi.

#6 - Seterusnya kami bergerak ke suatu tempat dimana kami boleh merasakan bagaimana rasanya berada di musim sejuk. Nama tempat tak ingat. Selesai bersejukan, kami bergerak ke Shiretoko di mana terdapatnya lima buah tasik kecil di suatu kawasan pergunungan. Pemandangan yang sangat cantik dan harus di lihat dengan mata kasar. Apa yang aku dapat dengan lensa kamera ini mungkin tidak seberapa, tapi rasanya cukup untuk memberi gambaran kepada anda bagaimana cantiknya tempat ini.
Dan pengembaraan yang tidak pernah aku lakukan sebelum ini pun bermula. Perjalanan pulang ke Muroran sejauh 500km menaiki kereta untuk satu malam. Malangnya, rekod itu tidak berjaya dilakukan dek ketiadaan minyak setelah berjalan sekitar 350km. Pam minyak disini hanya beroperasi dari 8.00 pagi sehingga sekitar 8.00 malam. Jadi, kami terpaksa berhenti, menunggu keesokan pagi untuk mengisi minya. Hampa.
#7 - Hari terakhir, kami menghabiskan masa bersama-sama di tepi pantai ber-bbq bersama-sama sambil melakukan aktiviti-aktiviti aneh. Sangat menarik! Usia 20 tahun tidak menghalang kami untuk menjadi kanak-kanak semula. Pepatah Inggeris ada mengatakan, "
We don't stop playing because we grow old; we grow old because we stop playing."
Malam harinya, kami makan bersama-sama dan bermain bunga api. Maka berakhirlah ercutian musim panas kali pertama kami di Bumi Sakura.
Sepanjang perjalanan, kami berteka-teki beramah-mesra dan bersuka-ria. Hal ini lah yang membantu menyeronokkan lagi pengembaraan kami ini. Tempat-tempat ini masih boleh dilawati bila-bila masa jika ada kesempatan. Tetapi, moment-moment ini pasti tidak akan sama walaupun cuba diulangi beberapa kali. Orang-orang ini, hilai-tawa mereka, sangat berharga. Terima kasih rakan-rakan. :)
(not in the picture : Ismah Imani Ahamad)