Sunday, July 15, 2012

Air Terjun

gambar sekadar hiasan
Kehidupan di Chiba Jepun ini semakin lama semakin menarik nampaknya. Betul lah kata orang-orang lama. Tak kenal maka tak cinta dan jauh perjalanan luas pemandangan. Semalam, aku dan keluarga Chiba berkunjung ke Air Terjun Awamata dan di situ, berjimba lah kami sehabis daya. Keseronokannya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Cuma ketahuilah bahawa, sebaik mana kehidupan anda di bandar, pulang ke alam semula jadi adalah berpuluh kali ganda lebih baik dari itu. Apa yang menarik minat aku adalah seorang adik comel yang takut untuk berendam di dalam air setibanya kami di tapak air terjun itu. Hal ini membuatkan aku terfikir kembali akan diriku yang dahulunya juga seorang penakut sampaikan untuk memijak tanah pun aku takut (ini adalah menurut cerita ibuku). Mungkin itulah lumrah seorang kanak-kanak. Takut pada mulanya, tapi setelah membiasakan diri dengan suasana, bermainlah ia tanpa henti sehingga kalah sekalian dewasa.

Yang menariknya lagi adalah apabila si dewasa yang setelah lebih 20 tahun bersemuka dengan air dan mungkin telah beberapa kali bermandi di laut mahupun sungai dan juga kolam renang, masih lagi takut untuk cuba berenang di air dalam. Tetapi, kami berjaya memaksa beliau menumpaskan perasaan takutnya dan dia berjaya menyeberangi sungai yang dalam dan tiba ke kawasan air terjun dengan jayanya (walaupun dengan bantuan pelampung). Apa yang aku cuba sampaikan disini adalah walau selemah mana pun kita, jangan biarkan kelemahan itu menenggelamkan kehidupan kita dengan menjadi penghalang untuk kita melakukan sesuatu perkara. Jika si polan tadi tidak memaksa dirinya menyeberangi sungai yang dalam itu, dia tidak akan tiba di kawasan air terjun dan dia tidak akan bisa menikmati keindahan ciptaan yang maha esa setelah mendaki curam air terjun itu. Kami yang memulakan perjalanan dari bawah, mendaki curam air terjun, mendaki lagi dan lagi sehingga ke atas, sangat teruja dengan keindahan alam dan keseronokan bergelungsur dibawa arus deras turun ke bawah sungai. Pengalaman yang sangat menarik dan tidak bisa dilupakan. Walaupun segala otot-otot kepedihan, luka-luka di tangan dek bercium dengan batu-batan, seluar yang rabak dek bergelongsor macam setan, yang penting adalah pengalaman!

Sunday, July 1, 2012

iF U C Kate

Manusia, pandai berpura-pura. Hebat mengalih cerita, untuk menutup pekong yang terbuka di dada. Berani buat, berani lah tanggung padahnya. Jangan jadi burung unta yang hanya tahu menyembunyikan kepala, jadilah seorang yang berani gagah perkasa. Jangan mudah selesa selepas kau berpura-pura dan kononnya telah berjaya. Kerana mungkin juga kau terpedaya dek penipu yang lebih gah gayanya. Ingat, gerak gerimu pasti ada yang bisa membaca. Kerana kau juga manusia.

(lepas ni mesti ada yang terasa, kemudian membuat tindakan yang biasa seperti mempertahankan diri dengan membuat statement tegar yang kononnya tidak ditujukan kepada sesiapa. Itulah dunia maya, dunia IT. Boleh melukakan, walau tidak bersentuhan. Tapi malangnya, aku sudah buat dahulu.) Eh?!