Untuk kesekian kalinya aku tidur dalam lingkungan jam lima pagi. Untuk pengetahuan anda, Subuh di sini adalah jam tiga. Jadi, jam lima itu sudah terang benderang gilang gemilang seperti jam lapan di Malaysia. Namun yang demikian, alasan untuk aku tidur lambat sebelum ini adalah kerana aku ingin mengulang kaji pelajaran untuk peperiksaan pada pagi itu. Tetapi, kali ini, tidak sama sekali. Aku baru sahaja selesai membuat persiapan untuk mendaki Gunung Fuji malam ini. Rancangan yang tiba-tiba muncul sekitar jam dua pagi tadi sungguh mengujakan sehingga aku sukar untuk tidur - alasan. Hakikat sebenarnya, aku tidak boleh tidur kerana semalam aku telah tidur seharian dari pagi sampai petang.
Baiklah, kembali kepada cerita Gunung Fuji. Rancangan yang tiba-tiba muncul itu adalah fakta. Bukan secara tiba-tiba muncul sebenarnya. Rancangan itu telah dirancang baik oleh orang-orang mantap sekalian, cuma berkaitan aku yang turut serta dalam plan itu adalah secara tiba-tiba. Memandangkan aku mengusulkan kepada senior aku bahawa kedukacitaan aku yang tidak diajak untuk turut serta, dia secara tiba-tiba menawarkan aku untuk turut serta dek kerana terdapat seseorang yang menarik diri di saat akhir kerana sibuk dek peperiksaan akhir semester. Aku yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir semester dua hari lepas, tanpa segan silu dan dengan keazaman yang menggunung, aku turut serta dalam rancangan itu.
Di sini apa yang aku cuba sampaikan disamping penceritaan buta tuli aku adalah perancangan di akhir waktu (last minute planning) walaupun tidak digalakkan, tetapi selalunya menarik. Semalam, aku buntu untuk menghabiskan waktu cuti musim panas aku sementara menunggu selepas raya di mana aku akan ke Hokkaido. (Jeng jeng jeng!!) Hari ini, aku sudah perlu bersiap sedia untuk pergi mendaki Gunung Fuji. Tidakkah itu menarik? Oh, terdapat suatu kekangan! Duit, sen, pitih, KOSONG!! Tidaklah kosong seperti betul-betul kosong. Cuma "kosong" yang hampir kosong. Faham-fahamkan lah. Tetapi, dek kemuliaan hati senior aku untuk memberi pinjam wangnya, maka masalah selesai. Jadi, apa yang aku perlu lakukan sekarang adalah tidur.
Sekian, terima kasih.
Now listening : Missing Piece by David Choi

No comments:
Post a Comment