Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sahaja aku hendak bercerita tentang kondisi aku pada masa kini. Ditambah pula dengan rata-rata manusia yang sedang kecoh dengan tarikh yang kononnya luar biasa sedangkan fakta ini boleh di tepis oleh pembangkang tegar dengan mudah di mana di dunia ini terdapat pelbagai kawasan dengan zon waktu berbeza, (ayat sebelum tanda koma merupakan suatu situasi) aku berminat untuk menulis sebuah post sekadar suka-suka untuk rakan-rakan pembaca yang aku suka. :)
Baiklah, aku sekarang sedang membaca dua buah buku di bawah buku bertemakan falsafah. Di mana, satu buku; falsafah yang sebenar, dan satu lagi; falsafah rekaan. Mengapa aku berkata sedemikian rupa? Hal ini kerana...
1. Buku berjudul "バカの壁" (Baka no Kabe) yang telah dialih bahasa menjadi Bahasa Inggeris berjudul "The Wall of Fools" merupakan suatu buku falsafah sebenar yang membincangkan tentang ideologi manusia yang pura-pura tahu sedangkan mereka tidak tahu. Ataupun ada juga sebahagian yang yakin bahawasanya mereka tahu sedangkan mereka tidak tahu. Aku berminat untuk berkongsi suatu ayat yang aku tidak pasti sumbernya dari mana, yang pasti bukan buku ini. (Ini juga merupakan suatu situasi yang disebut di dalam buku tersebut di mana aku yang dalam kondisi tidak tahu, malas untuk berusaha untuk mengetahui perkara yang aku tidak tahu) Ayat tersebut tidaklah semestinya sama, cuma intipatinya adalah seperti ini; "The more I know something, the more I know that I know nothing". Jika rajin, Google lah ayat ini, pasti ada ungkapan dan huraian yang lebih tepat untuk dijadikan rujukan. Jangan jadi bodoh, jangan membina tembok kebodohan.
2. Buku berjudul "The Bro Code" yang apabila dibaca sepintas lalu, jelas kelihatan ketidak seriusan dengan penggunaan perkataan "Bro" itu sendiri. Bagi sesiapa yang serasi dengan rancangan televisi Amerika "How I Met Your Mother", buku ini tidak asing lagi. Bagi yang pertama kali mendengarnya, buku ini merupakan satu buku falsafah berkaitan persahabatan antara lelaki yang bukan untuk diperlekehkan, tetapi untuk tidak dihiraukan. Nilai itu ada, kerana aku sendiri berpegang dengan prinsip aku di mana di dalam setiap repekan, pasti ada sekelumit fakta, cuma buku ini jangan lah dijadikan pedoman. Penulis buku ini merupakan salah satu daripada lima watak utama dalam rancangan tersebut. Maka dari itu, sedangkan penulis itu sendiri adalah watak rekaan, maka...
Oh ya, kini aku gemar menimbulkan suatu tanda tanya dan ketika sedang asyik membincangkan suatu topik, aku akan berhenti di tengah jalan. Ada juga kes seperti membaca buku dan berhenti ditengah jalan. Ada satu novel berjudul "House Rules" yang aku mulai baca sebelum aku melanjutkan pelajaran ke Jepun ini, sampai sekarang tidak habis lagi. Sama juga dengan Buku 1, masih setengah jalan. Buku 2, dalam proses menjadi setengah jalan. Nafsu aku untuk melakukan sesuatu biasanya membuak-buak tetapi tidak pernah tahan lama. Bak kata pepatah, hangat-hangat tahi ayam.
Jadi berbalik kepada cerita aku yang tadi, di mana aku sedang membaca dua buku dan sifat-sifat hangat tahi ayam aku, aku ingin simpulkan bahawa bagi aku tidak salah melakukan sesuatu separuh jalan kerana separuh jalan itu juga merupakan suatu kejayaan. Akan tetapi, adalah lebih baik jika dilakukan hingga ke penghujungnya. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Asalkan hasilnya tidak kosong mahupun negatif, lakukanlah. Ingat, biar setiap langkah itu bermakna, walaupun setengah langkah. Tapi...

No comments:
Post a Comment