Assalamualaikum.
Semalam, aku dan rakan-rakan sekolah aktif beramah mesra di laman sosial Facebook. Topik perbualan kami adalah mengenai sebuah gambar rakan yang dahulunya sering dibuli dan diperolok-olokkan.
Ada suatu ketika dahulu, sekitar sebelum SPM. Beliau, atas tekanan yang melampau dimana aku yakin aku turut menyumbang dalam timbunan tekanan beliau itu, mencapai suatu tahap kronik menyebabkan beliau hilang sedikit kewarasan.
***
Apa yang aku ingat, suatu malam ketika kelas persediaan malam, dia berlegar-legar di sekitar kawasan sekolah. Setibanya dia di pondok jaga, dia menyerang jaga-jaga yang sedang bertugas. Jaga tersebut akhirnya melaporkan kepada warden bertugas dan dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Hasilnya, dia didapati menghidap gangguan mental yang menyebabkan dia terpaksa ditahan di wad. Menurut rakan-rakan, selain tekanan daripada rakan-rakan, dia juga menerima tekanan dari keluarga. Sebagai anak sulung yang akan/perlu membantu keluarga yang tidak mewah setelah dia berjaya kelak. Alhamdulillah, dia berjaya pulih sebelum tibanya SPM dan kini sedang dalam proses untuk menjadi pendidik anak bangsa.
Ketika itu, aku sebagai seorang rakan/pembuli merasakan ada sedihnya. Ada rasa bersalahnya. Tetapi, ada juga rasa kelakarnya.
Kini, setelah aku yang kononya telah mencapai usia dewasa, masih merasa bersalah, masih merasa kasihan. Tetapi, aku terkilan akan diri aku sendiri, kerana aku masih merasakan kelakarnya. Cuma bezanya kali ini, dalam merasa kelakar itu, aku rasakan tanggungjawab dimana jika dia tidak berjaya pulih, apakah yang akan terjadi kepada dirinya, keluarganya?
Persoalannya, mengapa dia? Jika aku? Bagaimana?
***
Maafkan aku rakan. Aku kini masih aku yang dulu. Suka bergurau suka mengacau. Cuma kalau dahulu, mungkin aku kasar atas dasar benci. Tapi ketahuilah kini, jika ada aku bergurau, aku berkasar, itu atas dasar rakan-rindu-rakan.
Memang hakikatnya aku rindu semua rakan-rakan aku. Jaga diri dimana jua kau berada. Doaku, segala yang terbaik untukmu, rakan-rakan. Doakan aku juga. I love you Brothers. Fighters0509.

No comments:
Post a Comment