Wednesday, May 23, 2012

(劉 先生) Ryuu Sensei

Detik ketika aku sedang menaip ini, kelas Fizik (Works and Kinetic Energy) sedang berjalan. Aku bukan skip kelas, aku ada di dalam kelas. Malahan barisan ketiga dari hadapan di mana tempat duduk ini aku rasa paling strategik kerana pensyarah mengajar menggunakan slide dan papan hitam. Tapi malangnya, aku masih tidak mampu memahami apa yang diajar oleh beliau. Secara lebih jelas lagi, berani aku katakan bahawa aku tidak faham langsung. Secara teknikalnya apa yang ditulis, apa yang dikira, aku faham. Cuma untuk apa gunanya? Bila gunanya? Bagaimana gunanya? Itulah persoalan yang berlegar dimindaku. Jika berterusan begini, bagaimana mampu aku hendak pulang dengan segulung ijazah?
Mungkin ada yang akan mengkritik, dengan kelakuan aku ini, bagaimana hendak faham. Tidak dengar apa pensyarah terangkan. Tidak salin nota. Buat perkara lain. Tidak fokus! Tetapi, ketahuilah bahawa aku telah cuba segalanya. Aku pernah fokus, aku pernah salin nota, aku pernah dengar apa yang pensyarah terang di hadapan. Cuma, aku masih tidak mampu menyelesaikan persoalan yang aku sebutkan tadi.
Pernah aku terfikir bahawa mungkin aku memang tidak sesuai dengan bidang kejuruteraan atau lebih tepat aku katakan aku tidak sesuai dengan subjek Fizik. Masalah bahasa? Mungkin, tetapi pada aku itu bukan masalah utama. Subjek lain seperti Matematik, aku bukanlah sempurna, sekurang-kurangnya aku faham dan mampu menyelesaikan masalah kira-kira itu sendiri. Tetapi dalan konteks soalan Fizik, aku lemah tak berdaya. Mungkin salah pensyarah ini, cara beliau mengajar? Di sebelah kiri aku, rajin dia belajar sendiri. Di sebelah kanan, gigih dia menahan mengantuk sampai tersengguk-sengguk. Belakang dia, kepala atas meja. Berbagai-bagai lagi ragam di dalam kelas ini. Mungkin salah pensyarah, bukan?
Aku menaip ini menerusi telefon selular milikku cuba untuk membunuh masa yang rasanya seakan siput yang berjalan di atas treadmill. Tetapi jika bermain, satu jam setengah ini seperti Usain Bolt berlari di atas walkalator. Benar orang kata seminit itu panjang pendek nya bergantung kepada situasi semasa. Maka, cukuplah sampai di sini untuk catatan kali ini. Ada lebih kurang lima belas minit sebelum rehat tengahari. Aku perlu bersiap sedia untuk pulang. Assalamualaikum.

No comments: